
EKSPEDISI SAINTIS MUDA ALAM SEKITAR
15 JAN 2020 - Institut Penyelidikan Alam Sekitar Pantai Timur (ESERI), Universiti Sultan Zainal Abidin dengan kerjasama Institut Pendidikan Guru Kampus Sultan Mizan, Besut (IPG Besut) telah mengadakan program Ekspedisi Saintis Muda Alam Sekitar. Program ini di jalankan pada 13 – 15 Januari 2020 bertempat Lata Kolam Air Deru Ecopark, Besut, Terengganu. Pelajar terlibat seramai 40 orang melibatkan pelajar UniSZA dan IPG Kampus Besut.
Program ini berkonsepkan pembelajaran secara interaktif di mana para peserta dapat mempelajari dan mendalami ilmu pengetahuan dalam pengurusan alam sekitar melalui Program “Young Environmental Scientist (YES)”. Setiap peserta akan didedahkan dengan teknik dan kaedah menggunakan peralatan saintifik alam sekitar dan akan diuji dengan pelbagai soalan berkaitan. Para peserta akan mendapat pengalaman dan pembelajaran di luar kelas yang amat menyeronokkan dengan menyertai program ini.
Program Ekspedisi Saintis Muda Alam Sekitar ini akan memberi tumpuan kepada peningkatan kesedaran dalam memelihara dan memulihara alam sekitar. Secara umumnya, tahap pencemaran alam sekitar semakin membimbangkan. Fenomena ini telah mengancam kehidupan harian semua makhluk yang menjadi penduduk di dunia. Untuk menyelesaikan masalah ini, pendidikan adalah cara yang berkesan untuk menyampaikan maklumat mengenai alam sekitar, termasuk mengubah tingkah-laku manusia melalui kesedaran alam sekitar. Kini, kerakusan penggunaan sumber alam secara tamak telah menyebabkan banyak kerosakan kepada alam sekitar. Ini jelas menunjukkan bahawa manusia telah terkeluar dari norma-norma kemanusiaan kerana terlalu mengejar keuntungan. Sikap yang berpunca dari perasaan tamak atas nama pembangunan, tanpa perancangan teratur akhirnya telah membawa kepada beberapa masalah persekitaran seperti pemanasan global, pencemaran air, udara dan tanah, peningkatan sisa pepejal, penipisan lapisan ozon, dan lain-lain.
Secara keseluruhannya, program ini bermatlamatkan pengukuhan pengetahuan saintifik terhadap kawasan sekitar terutama di Sungai sekitar Besut, Terengganu. Rumusanya, persekitaran di Lata Kolam Air Deru Ecopark sangat cantik dan menarik serta bersih dari sebarang pencemaran. Melalui persampelan yang di lakukan dalam program “Young Environmental Scientist (YES)” kami dapati kualiti air terjun di Lata Kolam Air Deru Ecopark sangat bersih dan udara yang nyaman. Oleh itu, sama-samalah kita meningkatkan kesedaran dan kefahaman komuniti setempat dalam memelihara dan memulihara alam sekitar.