Latar Belakang

Cabaran terbesar negara malah dunia sejagat bagi generasi sekarang dan akan datang adalah mengekalkan dan memelihara alam sekitar. Kebijaksanaan masyarakat mengurus alam sekitar bergantung kepada pemahaman secara kolektif terhadap sistem saling hubungkait ekologi yang kompleks, penghayatan tentang potensi dan batasan teknologi, penghargaan tentang faedah dan kos sesuatu polisi yang diputuskan.

Kefahaman prinsip sistem ekologi dan fizikal; kuasa budaya, sosial, ekonomi dan politik yang bertindak ke atas sistem tersebut; protokol pengurusan, perancangan dan kejuruteraan merupakan kemestian bagi menghadapi cabaran isu-isu persekitaran masa kini dan akan datang. Penyelesaian masalah alam sekitar memerlukan kader-kader saintis terlatih, penyelidik, pengurus sumber, perancangan, pembuat dasar dan pakar-pakar lain yang berfikiran jauh dan kritis. Bagi memenuhi cabaran dan keperluan kepakaran tersebut di negara ini, UniSZA perlu memainkan peranannya secara lebih agresif lagi melalui perkembangan proaktif dalam bidang latihan formal dan bukan formal, penyelidikan dan perundingan, penyedia perkhidmatan serta jaringan industri dan masyarakat. Pengajaran, penyelidikan dan perundingan alam sekitar di UniSZA pada masa ini adalah tidak berpusat yang dilaksanakan oleh ramai kakitangan akademik di fakulti-fakulti yang sedi ada di universiti. Kewujudan kelompok ini memberi persaingan sihat, tetapi boleh berlaku pertindihan dalam pengajaran dan penyelidikan. Kegiatan yang tidak bersepadu ini boleh merugikan UniSZA dan juga negara. Oleh itu, satu pusat yang khusus untuk melaksanakan kegiatan ini secara bersepadu perlu diwujudkan. Sejajar dengan perkembangan semasa serta kesinambungan bidang pengajaran dan penyelidikan alam sekitar serta berfokuskan kepada tiga nic iaitu Islam dan Peradaban, Agroindustri, dan Perubatan dan Komuniti oleh UniSZA, adalah wajar pusat ini diwujudkan dengan cadangan dinamakan Institut Penyelidikan Alam Sekitar Pantai Timur.

Sebagai sebuah institusi yang baharu, dan dalam usaha mengembangkan bidang Alam Sekitar terutamanya di Pantai Timur Malaysia, UniSZA perlu memainkan peranan dan mengambil peluang yang ada dengan lebih agresif lagi melalui perkembangan proaktif dalam bidang latihan formal dan bukan formal, penyelidikan, perundingan, penyedia perkhidmatan dan jaringan industri dan masyarakat. Perkembangan bidang alam sekitar ketika ini tidak sahaja tertumpu kepada bidang sains malah merangkumi bidang sosial dan etika, ekonomi dan politik, perancangan dan perundangan, polisi dan pentadbiran, teknologi dan kejuruteraan. Kesesuaian Institut Penyelidikan Alam Sekitar Pantai Timur untuk melangkah ke hadapan dengan mengintegrasikan bidang-bidang tersebut akan memperkasakan lagi bidang pengajaran dan penyelidikan berkaitan alam sekitar di Malaysia. Oleh itu, Institut Penyelidikan Alam Sekitar Pantai Timur perlulah diletakkan di bawah satu pentadbiran yang tersendiri. Untuk merealisasikan ini, bidang kuasa dan penstrukturan institut adalah wajar diberi sepenuh kebebasan (otonomi) dalam merancang dan menyusun strategi pengajaran dan penyelidikan dan di bawah kawal selia oleh pentadbiran tertinggi universiti.

Penubuhan Institut Penyelidikan Alam Sekitar Pantai Timur, UniSZA dijangka bakal menghasilkan tenaga pakar dalam bidang sains dan kejuruteraan alam sekitar melalui penawaran program pengajian di peringkat pengajian siswazah. Pertambahan dan permintaan ke atas bilangan pelajar tempatan dan antarabangsa diyakini  akan meningkat akibat daripada perkembangan pesat ekonomi negara dan penguatkuasaan ke atas pengawalan, pemuliharaan dan penjagaan serta perkembangan positif bidang penyelidikan alam sekitar di Malaysia.

Kurikulum dan reka bentuk penyelidikan alam sekitar yang akan ditawarkan perlulah memenuhi keperluan dan kehendak semasa akibat evolusi pencemaran yang ada di Malaysia dan di peringkat global. Ini adalah bertujuan untuk memantapkan lagi rangka program yang sedia ada agar selari dengan permintaan semasa dan halatuju jangka panjang pembangunan negara. Perubahan yang akan dilakukan juga perlulah mengambilkira aliran pemikiran di peringkat nasional dan antarabangsa yang menuju ke arah pembangunan lestari.

Pengilhaman ke arah pembangunan lestari, kepelbagaian biologi, ekosentrisme, sains forensik, pemodelan dan teknologi pintar, dan isu seperti peningkatan bilangan penduduk dunia yang kian mendadak, gas rumah hijau, peningkatan suhu global, peningkatan aras laut, pencemaran sisa toksik serta ancaman terhadap kesihatan manusia akan menjadi cabaran kepada perkembangan akademik dan penyelidikan di institut. Jelas UniSZA telah mempunyai kepakaran yang sedia ada namun begitu ia perlu dipertingkatkan untuk menangani semua cabaran ini. Satu pendekatan baharu perlu diutamakan yang melibatkan rangkaian kerjasama di antara pihak institut dengan pihak luar, agar ilmu pengetahuan dan pengalaman dalam pelbagai perkara dapat dikongsi bersama untuk faedah semua.

Pengetahuan mengenai alam sekitar perlu disampaikan kepada semua lapisan rakyat demi membina masyarakat yang perihatin terhadap alam sekitar sebagaimana yang termaktub dalam Dasar Alam Sekitar Negara (2002). Banyak IPTA dan IPTS lain telah menyahut seruan ini dengan menubuhkan jabatan dan pembentukan program yang mengendalikan pelbagai kursus yang berkaitan dengan pengurusan alam sekitar.

UniSZA sebagai  sebuah  universiti  yang  mengutamakan 'Ilmu Demi Faedah Insan',  dan  terletak  di  pantai  timur Semenanjung Malaysia yang mempunyai potensi yang besar dalam menyediakan prasarana menangani isu-isu alam sekitar. Justeru  sebuah institusi  yang  khusus dalam menangani  isu-isu semasa  di  samping pembangunan penyelidikan dan penyedia perkhidmatan dalam bidang alam sekitar perlu diwujudkan. Memandangkan di pantai timur Malaysia belum ada lagi mana-mana agensi atau organisasi yang memfokuskan  penyelidikan  komprehensif  serta tumpuan  terhadap  alam  sekitar,  maka  sewajarnyalah UniSZA sebagai sebuah universiti yang sedang membina reputasi ke arah menjadi sebuah universiti komprehensif dan salah sebuah universiti terkemuka di rantau ini  mewujudkan sebuah organisasi yang mengkhusus di dalam bidang alam sekitar sebagai sebahagian nic penyelidikannya. Ini dikukuhkan lagi dengan kewujudan satu-satunya institusi penyelidikan seumpama ini di Pantai Timur Semenanjung yang dikelilingi oleh industri berat terutamanya yang berfokuskan industri minyak dan gas, yang tentunya bakal menjadi ‘feeder’ berterusan kepada institusi penyelidikan ini kelak.

Oleh  itu  cadangan  penubuhan  Institut Penyelidikan  Alam Sekitar Pantai Timur  adalah bertepatan dan merupakan suatu keperluan dalam menangani dan menjuarai isu-isu berkaitan alam sekitar  di  Malaysia khasnya  di  pantai  timur. Dalam hal ini, penubuhan  ESERI  dijangka  dapat memainkan peranan  yang sangat  penting dalam menyediakan  khidmat  sokongan  saintifik kepada agensi-agensi kerajaan yang terbabit bagi tujuan penguatkuasaan   peraturan-peraturan untuk pemuliharaan dan pemantauan kualiti alam sekitar.  Berteraskan bidang-bidang baharu yang tidak ada lagi ditawarkan di mana-mana universiti di Malaysia seperti bidang Kejuruteraan Kualiti Alam Sekitar (Environmental Quality Engineering), bidang Teknik Perlombongan Data (Data Mining Techniques) seperti Kemometrik/Environmetrik, serta pengwujudan Sistem Makmal Forensik Pintar Alam Sekitar yang mengintegrasikan makmal sains dan sistem komputer pintar untuk analisis data yang berakreditasi ISO17025. Di samping itu penubuhan ESERI akan dapat memperkasakan lagi bidang-bidang teras yang sedia ada seperti bidang sains tanih, kejuruteraan reka bentuk serta masyarakat cakna alam sekitar selari dengan misi UniSZA merekayasa ilmu berteraskan Islam sebagai Ad-din . Ini akan menjadikan UniSZA sebagai universiti pertama di negara dan di rantau ini yang membangunkan kepakaran dan memiliki kemudahan seumpamanya dalam acuan lokal dan glokal.