Forum Perdana: "Alam Sekitar dari Perspektif Islam Dan Sains"
9 MEI 2014 - FORUM PERDANA
Kuala Terengganu: Institut Penyelidikan Alam Sekitar Pantai Timur (ESERI) Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dengan kerjasama Sekolah Kebangsaan Tok Jembal telah menganjurkan program Saintis Muda Alam Sekitar (YES). Program ini telah berlangsung selama dua hari iaitu pada 9 dan 10 Mei 2014. Program ini telah dimulakan dengan upacara perasmian dan diikuti oleh Forum Perdana yang bertajuk “Alam Sekitar Dari Perspektif Islam Dan Sains” pada 9 Mei 2014 bertempat di Sekolah Kebangsaan Tok Jembal. Penganjuran Forum Perdana ini mendapat kerjasama penuh daripada Institut Penyelidikan Produk Dan Ketamadunan Islam (INSPIRE) UniSZA, Fakulti Bahasa Dan Komunikasi UniSZA dan Universiti Malaya (UM).
Forum yang dianjurkan ini menyentuh mengenai isu penjagaan dan pemuliharaan alam sekitar dimana ianya merupakan khazanah yang di amanahkan oleh Allah s.w.t. yang perlu dipelihara sebaiknya agar umat manusia dapat meneruskan kehidupan dengan sempurna.
Program ini dirasmikan oleh Y.Brs. Profesor Dr. Haji Mohd Ekhwan bin Haji Toriman, Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi UniSZA. Dalam ucapan perasmiannya Prof. Dr. Haji Mohd Ekhwan berkata “program yang diadakan pada hari ini merupakan salah satu acara yang terkandung di dalam kalendar program kemasyarakatan UniSZA 2014. pelbagai acara telah dirangka sepanjang berlangsungnya program ini bagi menarik minat para pelajar dan ibubapa tentang pentingnya sains dan alam sekitar dalam mengharungi dunia yang semakin terancam dengan pembangunan yang tidak mampan”
Dua orang anggota panel dijemput bagi mengupas tajuk ini iaitu Profesor Dr. Mohd Riduan Tee Abdullah dari INSPIRE, UniSZA dan Profesor Dr. Sharifuddin Md Zain dari Fakulti Sains, Universiti Malaya (UM) manakala moderator adalah ustaz Mohd Ali Yusof dari UniSZA.
Seramai kira-kira 700 orang yang terdiri daripada guru sekolah dan masyarakat setempat menghadiri program yang julung kalinya dianjurkan ini.
|